Setelah bercuti selama sebulan, kini peserta Yakin Berani Tampil kembali menghadiri kelas YBT.
Pihak pengurusan YBT iaitu Tim Pendidikan akan lebih fokuskan kepada gerak kerja program akhir yang akan diadakan pada bulan November nanti.
Pada kelas kali ini, peserta-peserta didedahkan dengan misi dan visi program akhir dengan lebih fokus. Peserta-peserta telah dibahagikan dengan beberapa bahagian persembahan yang merangkumi kepada pementasan teater, nyanyian, pengacaraan, membaca Al Quran dan lain-lain lagi.
Memandangkan kelas dimulakan masih dalam suasana Aidilfitri, peserta-peserta membawa 'pot luck' Hari Raya untuk disambut dengan para pengajar YBT.
Kajang: Program Pendidikan Yakin Berani Tampil yang dijalankan di Kampung Sungai Burung, Parit Dua akan masuk minggu ke 6 pada Ahad, 12 Januari 2014 ini.
Penglibatan anak-anak kampung yang terdiri dari seusia 7 hingga ke 6 tahun telah menunjukkan pretasi yang amat menggalakkan. Anak-anak kampung yang pada mulanya malu untuk ke depan dan malu untuk bercakap di khalayak ramai, telah tanpa segan-silu untuk ke depan khalayak ramai dan telah mula positif dengan program ini.
Program yang bermatlamatkan untuk memajukan soal tahap keyakinan di dalam diri anak-anak ini telah sedikit sebanyak membuahkan hasilnya. Cahaya kesenyuman telah terpancar di setiap muka tenaga pengajar di sini.
Program yang direncanakan untuk setahun ini, masih mempunyai perancangan untuk diteruskan pada tahun-tahun yang mendatang. Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia, bahagian negeri Selangor telah merancang untuk meneruskan program sebegini di kampung-kampung yang berdekatan.
Sehubungan dari itu, tenaga pengajar yang terdiri dari anak-anak kampung amat-amat diperlukan. Ini kerana, program yang baik ini, perlulah diteruskan agar anak-anak seawal usia ini didedahkan dengan keyakian yang kuat untuk ke depan dengan masyarakat.
Untuk ke depan, tenaga pengajar diperlukan untuk meneruskan usaha murni ini. Tenaga pengajar yang diperlukan dari kalangan bekas pelajar universiti, anak-anak muda kampung, ibu-ibu tunggal dan sebagainya lelaki ataupun perempuan.
Dari itu, kepada yang berminat, bolehlah menghubungi wakil kami YM. Raja Kamarul Izham bin Raja Ismail di talian 012-3087142 ataupun Puan Fadhlin di talian 012-6221390.
Keterujaan anak-anak yang hadir di Program Pendidikan Yakin Berani Tampil nampak jelas di muka masing-masing.
Program ini secara tidak langsung mengajar anak-anak untuk kenal peribadi dan sahsiah diri untuk yakin dengan diri sendiri.
Kelas yang kali kedua ini lebih bermatlamatkan untuk tahu dan faham dengan perayaan dan setiap anak-anak dikehendaki membuat pembentangan mengenai perayaan-perayaan yang ada di Malaysia ini.
Dengan kefahaman secara ini, anak-anak dapat belajar sejarah dan perayaan dan yang penting sanggup ke depan tanpa adanya perasaan malu ataupun takut.
Disamping itu juga, minggu ini anak-anak didedahkan dengan kemahiran sebagai MC, qari dan qariah di hadapan penonton.
Mudah-mudahan kita akan dapat melihat hasilnya apabila program ini selesai pada tahun depan.
Anak-anak yang berjaya di sekolah sama ada dalam pelajaran atau ko-kurikulum adalah mereka yang ada keberanian. Berani mencapai kecemerlangan, bercakap di depan orang ramai, bergaul, bertanya apabila tidak faham, menjadi ketua, memegang jawatan, mewakili kelas atau sekolah dan sebagainya. Apabila anak-anak menunjukkan keberanian maka mereka akan diberikan pelbagai peluang.
Mereka yang aktif di alam persekolahan adalah kerana mereka berani untuk melibatkan diri dalam kelas serta program yang dianjurkan. Dengan keberanian mereka mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan. Semua ini sangat membantu anak-anak di alam dewasa nanti.
Bayangkanlah, ketika anak orang lain sudah boleh berdikari sana sini, anak kita hendak bertanya sesuatu pada cikgu pun masih minta orang lain temankan. Ketika anak orang lain berani ikuti program-program perkemahan, anak kita tidak mahu turut serta sebab tiada kawan.
Sebab itulah anak-anak perlu ditanam dengan sifat berani pada usia yang seawal mungkin. Berani bukanlah sesuatu yang hadir ketika lahir sebaliknya sifat ini terhasil bergantung kepada cara ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu tahu cara terbaik menjadikan anak-anak mereka seorang yang berani secara bertempat.
Sebab kita tidak mahu pula apabila anak menjadi berani tidak bertempat lalu dia melawan dan biadap dengan guru, merempit dan menyertai lumba haram, mencuri, memukul, bergadul dan sebagainya. Sebab kelakuan negatif sebegitu juga memerlukan satu bentuk keberanian.
Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi menjadikan anak-anak seorang yang berani:
1) Usah cepat membantu anak dalam pelbagai perkara. Semua ibu bapa sayangkan anak-anaknya. Tetapi usah jadikan rasa sayang sebagai alasan untuk cepat membantu mereka. Bukanlah salah membantu anak-anak kita tetapi ada ketikanya anak-anak perlu diberikan peluang mencuba dan melakukan kesilapan. Dari kesalahan dan kesilapan inilah mereka belajar. Ketika anak masih bayi, apabila dia mula pandai berjalan maka dia mula belajar naik tangga. Biasanya ibu bapa akan terus dukung anaknya dan bawa naik ke tingkat atas sebab takut anak jatuh. Ibu bapa yang prihatin sebaliknya akan mengawasi dan membiarkan anak-anaknya menapak satu anak tangga ke anak tangga yang lain. Dari situ anak itu belajar.
2) Biarkan anak dimarahi guru apabila mereka lakukan kesalahan. Ada ibu bapa yang sanggup menghantar buku latihan anaknya semula ke sekolah kerana bimbang anaknya nanti dimarahi guru atau didenda. Mungkin jika itu kesalahannya yang pertama maka kita hulurkan bantuan dengan menghantar buku itu ke sekolah. Tetapi bagaimana pula kalau masalah yang sama dilakukan oleh anak berulang kali? Bermakna anak kita sudah membentuk satu tabiat tidak bertanggung jawab. Oleh itu biarkan anak dimarahi dan didenda oleh gurunya. Dari situ dia akan belajar. Biar dia menjadi seorang yang berani menerima kesalahan dan berhadapan dengan risikonya. Sebagai ibu bapa usah campur tangan.
3) Berikan anak-anak peluang bergaul. Dunia internet hari ini meluaskan pergaulan anak-anak. Mereka boleh kenal sesiapa sahaja melalui laman sembang, facebook, twitter dan seumpamanya. Namun begitu, pergaulan bentuk ini tidak sama seperti pergaulan secara langsung. Anak-anak tidak boleh dikurung di rumah dan dihalang dari keluar bersosial. Biarlah anak berkawan asal sahaja kita tahu siapa rakan-rakannya, ibu bapa mereka, aktiviti yang dilakukan serta lokasi pertemuannya. Dalam masa yang sama lakukan pemantauan sebab kita tidak mahu anak-anak terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.
4) Dedah anak-anak dengan aktiviti lasak. Aktiviti-aktiviti lasak seperti ‘flying fox’, panjat dinding batu, berkuda, memanah, berenang dan seumpamanya dapat meningkatkan keberanian dalam diri anak. Bayangkan di barat ada aktiviti ‘bungee jumping’. Aktiviti ini memerlukan kaki kita diikat dan kemudian terjun dari satu kedudukan yang tinggi langsung ke bawah. Pasti menakutkan dan menggerunkan. Tetapi apabila selesai mencubanya pastilah keberanian diri meningkat. Malah di Malaysia kini sudah ada aktiviti ‘bungee jumping’ ini. Sebenarnya banyak lagi aktitivi yang boleh dilibatkan bagi menguji keberanian anak-anak. Misalnya adakah anak kita berani naik ‘roller coaster’ atau sentiasa mengelak. Jadikanlah anak kita seorang yang lasak dan berani kerana ia penting dalam pembentukan jati diri mereka.
5) Bawa anak ke majlis orang dewasa. Berikan anak-anak bergaul dengan orang tua atau mereka yang lebih dewasa dari usianya. Berikan dia ruang bertanya dan bercerita. Pengalaman ini akan menjadikan dia seorang yang berani berdepan dengan orang ramai nanti. Ada ibu bapa yang masih berpegang pada kepercayaan bahawa membawa anak-anak ke majlis orang tua sebagai kurang adab. Kita tengoklah apa bentuk majlisnya itu. Memang ada yang tidak sesuai di bawa anak. Tetapi kalau majlis menyambut bayi, hari lahir, kenduri kendara, perkahwinan dan sebagainya maka bawalah mereka bersama.
6) Latih anak mengambil risiko. Anak-anak perlu dilatih agar berani mengambil risiko. Mengambil risiko bukanlah bermakna melakukan sesuatu pekerjaan secara membuta tuli atau meletakkan dirinya pada kedudukan yang membahayakan. Ada bezanya melakukan kerja bahaya dengan kerja berisiko. Memanjat pokok itu kerja berisiko. Tetapi kalau bergayut di dahan tinggi tanpa sebarang langkah keselamatan itu adalah kerja berbahaya. Begitu juga memberi peluang anak remaja belajar membawa motosikal itu adalah kerja berisiko. Tetapi membiarkannya membawa motosikal tanpa memakai topi keledar dan memecut laju itu kerja berbahaya. Anak-anak perlu tahu beza antara risiko dan bahaya.
7) Bercakap secara positif. Bagi menanam keberanian dalam diri anak, ibu bapa perlu bercakap secara positif dan sentiasa menunjukkan pada anak yang kita yakin serta percaya akan kebolehan dirinya. Anak-anak juga perlu tahu dan sedar yang ibu bapanya bersedia menerima kekurangan, kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya dengan hati yang terbuka asasl sahaja mereka belajar sesuatu dari pengalaman itu. Sifat terbuka ibu bapa penting bagi menjadikan anak-anaknya seorang yang berani mencuba dan bertindak.
Seperti yang telah dinyatakan awal-awal tadi sifat berani ini boleh dididik. Malah anak-anak dilatih agar berani tampil atas pentas dan bercakap di khalayak ramai hinggakan ada ibu bapa yang menitiskan air mata kerana terharu melihat perubahan yang berlaku pada anaknya. Apa tidaknya, anak yang dulunya pemalu dan penakut kita berani menyampaikan ucapan di depan ratusan pelajar dan ibu bapa yang lain. Oleh itu ibu bapa perlu berkorban sedikit bagi memastikan anak-anaknya lebih berani selepas ini. Dengan memasukkan anak-anak ke program-program motivasi, ibu bapa akan dapati bahawa anak-anak mereka lebih bersedia berbanding dengan pelajar-pelajar yang lain. Adalah lebih mudah bagi mencipta kejayaan apabila kita ada mentor, tahu cara dan tahu rahsianya.
Alhamdulillah. Itulah ayat yang dapat diucapkan apabila selesai Majlis Perasmian Program Pendidikan Yakin Berani Tampil pada 27 Oktober 2013, Ahad semalam.
Majlis perasmian yang diadakan di Tabika KEMAS Seri Ros di Kampung Parit 2, Sungai Burung, Tanjung Karang itu bermula pada jam 9 pagi. Dengan ucapan bismillah, Program Pendidikan Yakin Berani Tampil telah dirasmikan oleh Puan Jamisah binti Abdul Rahman, Penyelia Kanan KEMAS, Parlimen Tanjung Karang, Daerah Kuala Selangor.
Majlis yang dimuatkan dengan Lagu kebangsaan, Negaraku dengan diikuti pula bacaan ikrar Rukun Negara telah membelah kesunyiaan kampung pada pagi itu. Dengan kehadiran yang menggalakkan dari masyarakat yang terdiri dari orang kampung, peserta-peserta YBT dan belia-belia menunjukkan semangat perpaduan kemasyarakatan yang hadir. Semangat YBT telah ditonjolkan melalui bacaan Ikrar Rukun Negara oleh adik Raja Muhamad Umar yang telah membacakannya dengan kuat dan lantang.
Kehadiran VIP terdiri dari Puan Jamisah binti Abdul Rahman, Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Tanjung Karang, Tuan Haji Shapie bin Ahmad, Pengerusi JKKKP, En. Ahmad Fauzi dari Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia, Bahagian Negeri Selangor, En. Muzzakir dari Tim Pendidikan dan En. Osman bin Ramli, Pengerusi KEMAS Kampung Sungai Burung.
Dalam perkembangan lain, wakil Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia, Bahagian Negeri Selangor juga menyampaikan taklimat mengenai Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan yang dianjurkan oleh Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC).
Program yang diperkenalkan kerajaan untuk membantu belia-belia yang tidak mampu untuk menyambung pelajaran ke institusi yang lebih tinggi, boleh mengambil peluang untuk menyambung di NATC dengan segala pembiayaan ditaja oleh kerajaan sepenuhnya dan juga diberikan elaun sebanyak RM200 setiap bulan. Peserta hanya perlu menanggung kos insuran dan cukai setem sahaja.
Program Pendidikan Yakin Berani Tampil bagi sesi 2013 / 2014 ini akan bermula pada 3 November 2013 bagi peserta yang berusia dari 7 hingga 12 tahun di Tabika KEMAS Seri Ros, Kampung Parit 2, Sungai Burung dari jam 9 pagi hingga 1 tengahari.
Program Yakin Berani Tampil (PYBT) adalah merupakan salah satu inisiatif Yayasan Al-Tarbiyah Malaysia Bahagian Negeri Selangor bersama-sama rakan strategik yayasan untuk mewujudkan satu wadah pendidikan yang akan melahirkan pewaris-pewaris sebagai satu modal insan di luar bandar.
Pada Ahad, 3 November 2013, akan bermulanya pembelajaran Program Yakin Berani Tampil untuk sesi 2013 / 2014 di Kampung Parit Dua, Sungai Burong, Tanjong Karang. Tujuan program ini diwujudkan adalah dengan bermatlamatkan untuk memperkasakan modal insan sekaligus membangun ekonomi luar bandar.
Program ini juga adalah berdasarkan dari Falsafah Pendidikan Negara iaitu " Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kenarah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Kerjasama ini akan menjadi lebih erat lagi dengan kerjasama pihak JKKK dan KEMAS Kampung Parit Dua, yang membantu yayasan untuk membangun anak-anak yang seawal usia 7 hingga 11 tahun untuk bersikap lebih yakin dengan diri, berani menghadapi apa saja cubaan dan tampil dengan akhlak yang lebih baik.
Mudah-mudahan program yang baik ini dapat diperkenankan oleh Allah semata-mata. Insya Allah.